Sunday, December 23, 2007

MAKAN BERTALAM UNTUK MEMBERI

“Rasanya, hidup saya adalah hidup bersama. Saya tidak ada banyak benda yang saya kenangkan sebagai SAYA. Di setiap keadaan, saya akan bersama dengan ramai sahabat yang menjadikan saya lebih selesa untuk mengimbau semalam sebagai KAMI. Kami bukan hanya bersama ketika mengulangkaji pelajaran, malah kami turut merasa KAMI ketika makan.”

Makan di talam itu bukan sekadar makan di talam. Orang selalu menyebut, you are what you eat. Dan, also you are how you eat. Soal memilih makanan yang berkhasiat adalah untuk manfaat fizikal. Fizikal yang sihat pula adalah rumah tinggal untuk mental yang cergas. Semua orang menghafal pepatah arab: ”Akal yang sejahtera adalah pada fizikal yang sejahtera”. Tetapi soal bagaimana kita makan, adalah bahagian untuk hati dan jiwa. Cara kita makan, berperanan mendidik hati kita, sebagai rumah kediaman iman. Kalau kita makan di pinggan, kita selalunya makan untuk mengenyangkan diri sendiri. Tetapi kalau kita makan bertalam, kita makan untuk mengenyangkan saudara-saudara kita.

Kadang-kadang kita silap. Kita selalu rasa yang apabila kita memberi, milik kita akan berkurang. Sifat Allah tidak begitu. Sebagaimana Allah boleh mencipta sesuatu dari tiada kepada ada, Allah juga maha berkuasa menambah hasil dari sesuatu yang dikurangkan. Itulah berkat namanya. Duduk mengadap talam, kerana mahu terdidik. Biar masa makan pun, ada tambah iman. Tentang isu makan bertalam ini, apabila kita makan bertalam, ada adab dan tertib yang menjadikan kita terdidik.

Pertamanya, kita akan melawan perasaan ego yang menjadi tembok pemisah diri dari berukhuwwah. Hal ini sama dengan perbuatan kita merapatkan saf di dalam Solat. Kalau perasaan kita ada meninggi diri dan merendahkan orang lain, maka kita tidak akan selesa dengan saf yang rapat.

Kedua, apabila kita tahu yang kita makan setalam dengan saudara kita yang lain, maka kita dengan sendirinya akan bertertib ketika makan. Tidaklah nasi disepah-sepah, lauk dicubit tak tentu hala. Sama seperti di dalam Solat Jemaah tadi. Kalau rapat saf tetapi tak jaga adab di dalam Solat, memang banyak kesulitan yang timbul. Apabila kita makan di talam, kita akan lebih sedar kepada hak orang lain. Apabila semua orang fikirkan saudara-saudaranya, maka dengan sendirinya hak masing-masing diterima. Tapi kalau semua nak menuntut hak, susahlah…..

Menyentuh tentang lifestyle pelajar-pelajar hari ini yang self centered.. Asyik fokus tentang diri sendiri je. Tabiat sebegini menyebabkan semua orang tidak terlatih untuk memikirkan tentang hal orang lain. Malah bukan sahaja tidak terfikir, memang tidak berupaya untuk mempertimbangkan orang lain. Contoh, apabila ubat gigi dikongsi bersama, kita akan ada pemantauan diri secara inside-out. Hati kita dengan sendiri akan berkata supaya adil dan bertimbang rasa. Soalan, kenapa di dalam sebuah rumah, seorang suami, isteri dan anak-anak boleh berkongsi makan, berkongsi minum dan saling menjaga keperluan sesama ahli keluarga? Kenapa tidak dalam “keluarga” di institusi ini?

Menerima memang seronok. Ia sifat semulajadi manusia. Tetapi memberi jauh lebih seronok dan bermakna, kalau kita memberi dengan KASIH SAYANG. “Tanpa kasih sayang, memberi adalah beban. Dengan kasih sayang, memberi mendatangkan makna kehidupan.” Dan apabila kita makan setalam, kita sering berfikir untuk memberikan hak sahabat setalam kita. Apabila semua berperanan begitu, dengan sendirinya hak masing-masing tertunai. Dan bukan hanya pada soal makan di talam, malah seluruh hidup kita jadi bermakna apabila yang mencari ‘erti’ pada memberi. ‘Erti hidup’ pada memberi.


“Terima kasih Allah!, kerana Maha Memberi kepada KAMI.”

0 Komen dan perkongsian yang berharga:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP