Sunday, December 23, 2007

TREND MENGURANGKAN RASA BERDOSA


"Stop ‘Arabising’ Malay Culture" atau "Berhenti MengArabkan Budaya Melayu". Perkataan itu menggambarkan misi mengembalikan semula identiti Melayu yang nampak telah terpadam oleh proses Islamisasi yang diterjemahkan sebagai Arabisasi. Antara budaya Melayu yang mahu ditonjolkan kembali adalah budaya tari menari.

“RAKYAT KETAGIH HIBURAN” inilah helah yang dijadikan sandaran. Iklan mestilah menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana agenda yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita sudah 'entertainment centered'. Malah wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi memenangkan idola masing-masing. Akhirnya berhibur menjadi tujuan hidup!

Mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih bernyawa, mufti tetap berfatwa, pendakwah menegur, pemimpin mengeluh. Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah ketagihan. Sembahyang? sembahyang juga. Tapi kemudian kembali berhibur. Lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun nama Tuhan tetap diselitkan. Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam masyarakat kita di mana Islam menjadi kosmetik paling murah tapi laku.

Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang bagaimana? Nasyid umpama iklan. Iklan yang berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika yang dikenang hanyalah iklan, sedangkan barangan tidak terjual malah tersisih dari pasaran, maka iklan itu sudah tersasar. Produk yang diiklankan, pelakon iklan yang naik saham!

Nasyid menjadi wadah 'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang kontemporari. Nasyid bertujuan 'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi yang mendengar nasyid cintan cintun dan rap sampah sarap hari ini, berapa ramai yang 'membeli' demi Tuhan? Adakah cinta kepada Ilahi meningkat selepas menghayati nasyid seperti itu? Persoalannya, yang manakah yang laku? Adakah Islam semakin laku? Adakah Tuhan semakin diAgungkan? Amat pelik, jika nasyid itu kononnya mempromosikan Islam tetapi Islam tetap tidak laku di pasaran. Iklan laku, barang tak laku. Nasyid laku, Tuhan tetap terpinggir dan dilupakan. APAKAH SEMUA INI?

Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran. Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan hati dan kebaikan pula mententeramkan jiwa. Pandangan Allah itu adalah world view yang berasaskan tauhid.

Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penyanyi yang bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang berlatar belakangkan agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita sedar hiburan kita sekarang adalah dosa. Maka dengan adanya kosmetik Islam tersebut ia dapat mengurangkan rasa berdosa. Seperti orang yang menyamun harta orang lain, kemudian sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan. Kurang sedikit rasa berdosa.

Sedangkan apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam pengajarannya ialah: MEMBUANG RASA BERDOSA KETIKA MASIH MELAKUKAN DOSA ADALAH SEBESAR-BESAR DOSA!


Ya Allah.. selamatkan kami dari fitnah akhir zaman

0 Komen dan perkongsian yang berharga:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP