Friday, June 27, 2008

Penyakit : Sibuknya, Hebatnya

Oleh: Ust.Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net


Cabaran dan ujian datang dalam bentuk yang pelbagai. Bagi yang beramal ia datang dalam bentuk yang tersorok dan mengelirukan niat. Merasa keagungan diri adalah pemusnah amal baik yang telah diusahakan.

Nabi s.a.w bersabda :-

ثلاث مهلكات : : شح مطاع و هوى متبع وإعجاب المرء بنفسه

Ertinya : Tiga pemusnah (amalan), kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dan merasa agung dan hebat dengan diri" ( Riwyaat Al-Bazzar & At-Tabrani, Hadis Hasan : ALbani )

Ada yang terdetik di sudut hatinya.

"Aku hebat, akulah sentiasa solat berjemaah di masjid"

Padahal dia lupa ada yang serupa dengannya malah jauh lebih khusyu solatnya dan hatinya tawadhu'.

Benar, sedarkah kita bahawa walaupun kita sentiasa ke masjid, namun kebiasaannya mesti ada yang berjaya mendahului kita ke masjid atau surau itu. Mungkin sekali sekala kita yang terawal namun dalam banyak keadaan kita bukan yang terawal. Malah jika yang terawal sekalipun ia belum tentu yang paling berkualiti di sisi Allah swt.

Ada yang terdetik :

"Akulah hebat kerana berani dan berjuang untuk Islam."

Sedangkan ia lupa ramai lagi yang lebih lama telah berjuang darinya, malah ada yang terkorban. Jauh lebih berani dari dirinya.

DAHSYATNYA AKU, SIBUK BETUL

Lagi detikan :-

"Nampaknya sibuk betul aku dalam perjuangan dan dakwah..hebat, hampir setiap hari ada kuliah dan ceramah di sana sini"

Ada yang merasakan diri terlalu sibuk memberi manfaat dan berdakwah kepada orang lain, sehingga mindanya terhalang dari merasakan ada insan lain yang jauh lebih sibuk dan berjasa darinya.

Sedarkah kita, sejenak terdetik diri sibuk dalam dakwah, itulah detik pemusnah diri dan amal. Malah ia terlupa dek kerana keghairahan memuji dirinya, terdapat ramai lagi yang lebih sibuk darinya dalam hal dakwah, malah 5 -6 ceramah setiap hari. Malah ada yang jauh lebih sibuk dari bercermaha. Iaitu mereka yang berjuang dalam penulisan kitab 12 jam sehari, lalu tersebarlah ilmunya seantero dunia.

Lupakah dirinya, terdapat ramai yang berjuang namun bukan sekadar memberi ceramah tapi mereka sudah sampai ke tahap berusaha dan bekerja melaksanakan inti-inti ceramah tersebut sama ada dalam sebuah kerajaan negeri atau persekutuan. Sudah tentu manfaatnya lebih hebat dan besar buat ummat dari sekadar berceramah atau menulis teori semata-mata.

Justeru, janganlah sumbangan kita hingga kesibukan berceramah, menulis, mengolah artikel, mesyuarat jemaah beberapa malam menjadi pemusnah amalan, sudahnlah ianya sedikit malah perasaan sebegini akan menjadikannya semakin kurus kering di sisi Allah swt. Inilah nasihat buat saya dan rakan-rakan pendakwah di luar sana.

Rasulullah s.a.w mengajar kita, dalam hal keagamaan untuk sentiasa mencari dan memikirkan amalan dan kehebatan mereka yang lebih dari kita, manakala dalam hal dunia segeralah melihat mereka yang lebih kurang bernasib baik, dengannya kita akan sentiasa mensyukuri nikmatNya.

Sabda Nabi :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

Namun adalah malang ramai yang mengamalkan hadis ini secara terbalik. Dalam hal dunia sering kita dipengaruhi oleh mereka yang lebih kaya dan berharta sehingga nafsu keduniaan meningkat dan kelabu dari segala hukum halal haram.

Malangnya dalam bab akhirat pula ada yang sering melihat orang yang lebih teruk darinya, lalu mengganggap dirinya agak lebih baik. Seperti kata :

"ala orang lain ada yang tidak solat langsung, aku ‘at least ‘ solat la jugak walaupun tidak penuh lima waktu"

PALING ALIM

Selain dari itu, ada yang terdetik :

"Akulah antara yang teralim dan paling mendalam"

Tidak kiralah sama ada dalam kajian hadis, fiqh, kewangan dan lain-lain. Sedangkan terleka dari firman Allah swt :-



وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ

Ertinya : "..dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi yang lebih mengetahui" ( Yusuf : 76 )

Inilah yang menjadikan Khalifah Umar Al-Khattab berkata :-

كل الناس أفقه من عمر

Ertinya : Semua orang lebih faham dari Umar al-Khattab (Tafsir Ibn Su'ud, 6/276 )

Inilahyang disebutkan oleh Ibn Qayyim :-

أي فوق كل ذي علم رفعه الله بالعلم من هو أعلم منه حتى ينتهي العلم إلى الله تعالى والكمال في العلم معدوم من غيره

Ertinya : ertinya di atas setiap orang alim itu yang Allah naikkannya dengan ilmu, terdapat mereka yang lebih mengetahui darinya sehinggalah tamat pada ilmu Allah swt, dan yang sempruna dalam ilmu tidak selain Allah( Zad AL-Masir, 4/262 )



Ya Allah, diminta jauh dari penyakit sebegini hinggap di dalam hati-hati kami. Perlulah dikethaui bahawa antara punca datangnya penyakit ini adalah hasil pujian-pujian menggunung yang diperolehi. Sila baca bab tersebut di sini.

0 Komen dan perkongsian yang berharga:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP