Friday, February 18, 2011

.:Halawatul Iman :.

Sabda Rasulullah SAW. :-

"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu)Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka" 

 
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat-sahabatku, marilah sentiasa tanamkan dalam hati kita 3 sifat ini (yang tersebut dalam hadith di atas) agar 'kemanisan iman' itu benar-benar dirasai.

Mengapa perlunya kemanisan iman? Kerana dengan kemanisan iman, kita tidak pernah mengeluh dengan keletihan dan kepenatan dalam berdakwah. Dengan kemanisan iman, kita sentiasa redha dan tawakkal dengan semua ujian yang Allah berikan kepada kita. Dengan kemanisan iman, kita sentiasa bersiap siaga untuk Islam.

Kadang kala, kita terasa penat dan lemah dalam berdakwah. Kadang kala kita merasakan yang kita telah banyak menyumbang untuk Islam tetapi apa yang kita dapat hanyalah keletihan, kesedihan dan sebagainya. Kadang kala mad'u kita kelihatan seperti tidak menghargai apa yang kita kongsikan. Kadang kala sahabat-sahabat lain pun kurang acknowledge kerja kita. 

Tetapi ingatlah,kerja dakwah ini bukan kerja dengan manusia tetapi kerja dengan Allah. Dengan kemanisan iman, hanya kepada Allah kita meletakkan sepenuh pengharapan. Dengan kemanisan iman, kita akan sentiasa yakin dan percaya dengan 'the hidden blessings' yang Allah janjikan. 

"Maka tidak seorang pun mengetahui apa yg disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyenangkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yg mereka kerjakan" [32:17] 

Marilah sama-sama kita bermujahadah menuju kepada kemanisan iman dalam beramal. Mudah-mudahan hati kita sentiasa tenang dan redha dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

.....................................................................................

 
~Mujahidin~ 
Takhassus Qiraat, 
Maahad Qiraat Al-Azhar, 
Shoubra, Mesir. 
(St.Theresa, Shoubra)

"Kata-kata orang yang bijaksana adalah ubat apabila ianya benar dan menjadi pahit apabila ianya salah"

Read more...

Tuesday, January 11, 2011

.: Doa Seorang Adik Kepada Abangnya :.

Dua lelaki bersaudara bekerja di sebuah kilang kicap dan sama-sama belajar agama Islam untuk sama-sama mengamalkan ilmunya dalam kehidupan sehari-hari sebanyak mungkin.

Mereka berjalan kaki mengaji ke rumah gurunya yang jaraknya sekitar 10 kilometer dari rumah peninggalan orang tua mereka.

Suatu ketika si abang berdoa memohon rezeki untuk membeli sebuah kereta supaya dapat digunakan sebagai pengangkutan dia dan adiknya untuk memudahkan mereka pergi mengaji. Allah mengabulkannya. Tidak lama kemudian sebuah kereta dapat beliau miliki hasil daripada bonus pekerjaannya.

Lalu si Abang berdoa memohon seorang isteri yang sempurna. Lalu Allah mengabulkan permintaannya. Tidak lama kemudian si abang bersanding dengan seorang gadis yang cantik serta baik budi bahasa serta perangainya.

Kemudian berturut-turut si Abang berdoa memohon kepada Allah akan sebuah rumah yang selesa, pekerjaan yang menyenangkan, dan lain-lain lagi dengan tekad supaya beliau lebih mudah untuk mendekatkan diri kepada Allah.


Dan Allah mengabulkan semua doanya itu.

Sementara itu, si Adik tidak ada perubahan sama sekali. Hidupnya masih sama seperti dahulu. Tetap sederhana. Masih lagi tinggal di rumah peninggalan orang tuanya yang suatu ketika dulu pernah menempatkan beliau bersama dengan abangnya. Namun kerana abangnya seringkali sibuk dengan pekerjaannya, beliau tidak dapat mengikuti pengajian dan si Adik pula seringkali berjalan kaki untuk mengaji ke rumah guru mereka.

Suatu ketika si Abang merenung dan membandingkan perjalanan hidupnya dengan perjalanan hidup adiknya, dan dia teringat adiknya selalu membaca selembar kertas apabila beliau berdoa; menunjukkan adiknya tidak pernah menghafal bacaan untuk berdoa.

Lalu datanglah si Abang kepada adiknya untuk menasihati adiknya supaya selalu berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh untuk membersihkan hatinya kerana dia merasakan yang adiknya masih berhati kotor sehingga doa-doanya tidak dikabulkan oleh Allah S.W.T.

Si Adik berasa terharu dan bersyukur sekali mempunyai abang yang begitu menyayanginya, dan dia mengucapkan terima kasih kepada abangnya atas nasihat yang berguna itu.


Hingga suatu saat si Adik meninggal dunia. Si Abang terasa sedih kerana sehingga sampai ke akhir hayat adiknya itu masih tidak ada perubahan pada nasibnya. Jadi beliau merasa bimbang kalau adiknya itu meninggal dalam keadaan kotor hatinya kerana doanya yang tidak pernah dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

Si Abang menguruskan rumah peninggalan orang tuanya sesuai dengan amanah adiknya untuk dijadikan sebuah masjid. Tiba-tiba matanya tertumpu pada selembar kertas yang terlipat di dalam sejadah yang biasa dipakai oleh adiknya yang berisi tulisan doa. Diantara tulisan tersebut ialah surah Al-Fatihah, Solawat, doa untuk guru mereka, doa selamat dan ada kalimah di akhir doanya:

“Ya Allah. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Mu. Ampunilah aku dan abangku. Kabulkanlah segala doa abangku, bersihkanlah hatiku dan berikanlah kemuliaan hidup untuk abangku didunia dan akhirat.”


Si Abang berlinang air mata dan haru-biru memenuhi dadanya. Beliau terharu dan tidak pernah menyangka yang adiknya tidak pernah sekalipun berdoa untuk memenuhi nafsu duniawinya.

.....................................................................................

* Moral daripada kisah ini ialah mungkin kejayaan kita pada hari ini adalah doa orang-orang yang sayangkan kita. Jadi janganlah kita berasa sombong dan megah.

* Kepada Sahabat2 yang sedang menempuhi imtihan,didoakan moga antum mendapat bahagian najah di dalam perjuangan yang dihadapi sekarang.


..................................................................................... 

~Mujahidin~
Takhassus Qiraat,
Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra, Mesir.
(St.Theresa, Shoubra) 
( 8.00pm Mesir) 

"Kata-kata orang yang bijaksana adalah ubat apabila ianya benar dan menjadi pahit apabila ianya salah"

Read more...

Monday, December 27, 2010

.:Kita, Prasangka, Mereka:.


Kita hidup di tengah2 khalayak
yang selalu berbaik sangka..

Alangkah bahayanya
terlalu percaya pada baik sangka mereka
membuat kita tak lagi jujur pada diri
atau menginsafi, bahawa kita tak seindah prasangka itu

Tapi keinsafan membuat kadang terfikir
bersediakah mereka tetap jadi saudara
saat tahu siapa kita sebenarnya
kadang terasa, bersediakah dia tetap menjadi sahabat
saat tahu hati kita tak tulus, penuh noda dan karat
dan..bersediakah dia tetap mendampingi kita dalam dakapan ukhuwah
ketika tahu bahawa iman kita berlubang-lubang

Inilah bezanya kita dengan Sang Nabi
dia dipercaya, kerana dia dikenal
sebagai Al-Amin, orang yg terpercaya
sementara kita dipercaya, justeru kerana
mereka semua tidak mengenal kita..

Yang ada hanya baik sangka..
maka mari kita hargai dan jaga semua baik sangka itu
dengan berbuat sebaik-baiknya
atau sekurangnya dengan doa yg diajarkan Abu Bakar
lelaki yg penuh baik sangka terhadap diri dan sesama

"Ya Allah, jadikan aku lebih baik dari semua yg mereka sangka,
dan ampunilah aku atas aib2 yg mereka tidak tahu.."

Atau doa seorang tabi'in yg mulia:

"Ya Allah, jadikan aku dalam pandanganku sendiri
sebagai seburuk-buruk makhluk
dalam pandangan manusia sebagai yg tengah2
dan dalam pandanganMu sebagai yg paling mulia.."


~Salim A.Fillah, Dalam Dekapan Ukhuwah~


..................................................................................

~Mujahidin~
"Kata-kata orang yang bijaksana adalah ubat apabila ianya benar dan menjadi pahit apabila ianya salah"

Read more...

Wednesday, August 11, 2010

.:Marhaban Ya Ramadhan :.

Ramadhan al-Mubarak…..

Ramadhan al-Karim……

Ramadhan ash-Shahrul Maghrifah…..

               Ungkapan-ungkapan ini selalu diucapkan apabila masuknya bulan Ramadhan. Ramadhan al-Mubarak (Ramadhan adalah bulan yang berkat). Ramadhan al-Karim (Ramadhan adalah bulan yang mulia). Ramadhan ash-Shahrul Maghrifah (Ramadhan adalah bulan keampunan). Semua ungkapan-ungkapan ini adalah suatu ungkapan yang menunjukkan tentang kelebihan bulan ramadhan.

Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah pada ayat yang ke-185:


(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.
                   
                  Bulan Ramadhan merupakan antara bulan yang paling mulia pada kita. Bulan ini adalah bulan yang dipenuhi dengan pelbagai kelebihan dan keuntungan buat kita sebagai umat Islam. Diantara 12 bulan yang terdapat dalam setahun, Allah S.W.T telah memilih bulan khusus untuk hamba-Nya iaitu bulan Ramadhan.

                  Di dalam bulan ini Allah S.W.T telah mensyariatkan pada kita sejak dari dulu,kini dan selamanya untuk kita berpuasa.

Apakah itu puasa?


PUASA

                   Puasa merupakan satu tunggak khas dalam pegangan umat Islam. Ianya merupakan satu amanah yang wajib dilaksanakan untuk seluruh umat Islam yang telah sampai akil baligh.

                   Puasa hanya diwajibkan ke atas kita sebagai umat Islam selama sebulan sahaja (hanya di bulan ramadhan). Ianya dilakukan dengan menahan diri dari lapar dan dahaga serta dari melakukan perbuatan mungkar pada Allah.

“Jangan hampa dok kata la ni saja kena posa…padahai dari dulu sampai kiamat nuh kena posa”

Cakap kedah sket… ;-))

Allah S.W.T telah berfirman dalam al-Quran pada surah al-Baqarah, ayat ke-183 :


“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”
                  Puasa ini bukan suatu perbuatan yang sia-sia dan zalim. Ramai yang mengeluh penat,sakit perut,uzur dan sebagainya. Masuk saja bulan posa, macam-macam penyakit tiba-tiba mai.

                 Kalau kita tengok betul-betul apa yang terkandung di dalam firman Allah di atas, Allah S.W.T menfardhukan (mewajibkan)ke atas kita supaya berpuasa adalah semata-semata untuk menjadikan kita ini sebagai hamba yang bertaqwa pada-NYA.

                 Apabila makin hampir dengan bulan ramadhan, kita cuba positifkan minda, perbaharui niat serta amalan kita dengan menganggap bahawa bulan ramadhan adalah bulan untuk kita melatih diri. Sepertimana kita memasuki sekolah swasta,kerajaan dan sebagainya, begitu jugalah pada bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita masuk ke dalam madrasah (sekolah) khas dari Allah S.W.T untuk kita sebagai umat Islam.

                Beruntunglah bagi sesiapa yang telah diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah S.W.T dengan berada dalam lingkungan syahadah.


“ Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah S.W.T dana aku bersaksi bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah”


HARAPAN

                 Semenjak dari bulan Rejab, seterusnya disusuli bulan Syaaban dan seterusnya kita akan memasuki bulan Ramadhan. Setiap kali selesainya sembahyang kita pasti akan berdoa pada Allah S.W.T :

“ Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim…Aku memohon kepadamu dengan segala-galanya pada-MU. Engkau berkatilah bagiku pada bulan REJAB dan SYAABAN serta ENGKAU berilah aku sempat untuk bersama Ramadhan yang bakal tiba ini”

                Dalam bulan ini penuh dengan KERAHMATAN, KEAMPUNAN, serta kelebihan yang terbentang luas bagi kita sebagai umat Islam. Jadi, saya mengajak terutamanya diri saya serta sahabat-sahabat seakidah sekalian supaya kita sama-sama pertingkatkan amalan kita pada bulan ini.

                  Perbanyakkan ibadah serta melakukan amalan-amalan yang diberkati oleh Allah supaya kita menganggap bahawa ramadhan ini adalah ramadhan yang terkhir buat kita. Supaya dengan itu kita sama-sama dapat pertingkatkan tadabbur serta penghambaan yang tinggi pada ILAHI.

...................................................

P/S : 

* Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Kareem buat semua sahabat.

* Mohon Maaf pada semua andai ada silap dan salah sepanjang mengenali diri yang lemah ini. 

* Kepada yang sedang menduduki imtihan,moga semuanya dipermudahkan Allah S.W.T dan mendapat keputusan yang cemerlang (nun jauh di sana... ;-)) 

* InsyaAllah pukul 4.30 waktu malaysia (30 ogos 2010), diri ini akan tiba di Malaysia untuk bercuti sehingga 1 disember 2010..InsyaAllah ada rezeki boleh jumpa sahabat2 di Malaysia...     

 
.....................................................................................

 ~Mujahidin~
Takhassus Qiraat,
Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra, Mesir.
(St.Theresa, Shoubra)
 (7.25pm Mesir)

 "Kata-kata orang yang bijaksana adalah ubat apabila ianya benar dan menjadi pahit apabila ianya salah"

Read more...

Thursday, June 10, 2010

Al-Fatihah.....

             Assalamualaikum w.b.t. buat sahabat-sahabat seperjuangan sekalian.

             Hari ini tepat jam 6petang waktu malaysia, satu sms daripada mak telah dihantar kepadaku yang mengatakan bahawa Tok Wan (abah mak) telah kembali ke rahmatullah.

             Di kesempatan ini saya memohon jasa baik dari sahabat-sahabat sekalian agar dapat mendoakan supaya Tok Wan saya ditempatkan di kalangan orang-orang yang dipilih oleh Allah s.w.t serta dimuliakanNYA.

~Al-Fatihah~


.....................................................................................

 ~Mujahidin~
Takhassus Qiraat,
 Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra, Mesir.
(St.Theresa, Shoubra)
(7.25pm Mesir)

 "Kata-kata orang yang bijaksana adalah ubat apabila ianya benar dan menjadi pahit apabila ianya salah"

Read more...

Friday, May 21, 2010

.: Selamat Pengantin Baru "Syafiq & Juwita" :.

Amat garang datuk bentara,
Musuh melanggar habis dibenam,
Dulu seorang kini berdua,
Hidup bersama susah dan senang.

Rimbun semalu di jambu batu,
Bangkit pelanduk terus berlalu,
Kompang dipalu menyahut restu,
Pengantin duduk tersenyum malu.

Ikan di laut asam di darat,
Dalam kuali bertemu jua,
Hati terpaut janji diikat,
Atas pelamin bertemu jua.

Ayam dara dibuat gulai,
Bungkus bekalan letak di bucu,
Riang gembira kedua mempelai,
Semoga berkekalan ke anak cucu.

              Selamat Pengantin Baru kepada pasangan " Syafiq & Juwita" saya serta rakan-rakan AQRAB dan di Mesir ucapkan.

               Moga lafaz "Aku Terima Nikah" yang disaksikan oleh hadirin yang hadir menjadikan pasangan ini lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan yang diimpikan oleh setiap insan.












~ Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat dan cinta yang terukir berterusan hingga ke syurga yang kekal abadi~


.....................................................................................
~Mujahidin~ 

Takhassus Qiraat, Maahad Qiraat Al-Azhar,
Shoubra, Mesir. 
(St.Theresa, Shoubra) 
(11.45am Mesir) 

"Kata-kata orang yang bijaksana adalah ubat apabila ianya benar dan menjadi pahit apabila ianya salah"

Read more...

Friday, May 7, 2010

.: Suara Mahasiswa Qiraat Didengari di Akhbar2 :.

1)    Tranungkite

2)     Harakah Daily


Keratan Tranungkite :

"Kekesalan jelas terpampang di wajah mahasiswa-mahasiswi Maahad Qiraat Al-Azhar sesi kemasukan 2009. Bayangkan jika anda sudah berada di pusat pengajian hampir 7 bulan, setelah bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajaran, tetapi tidak dibenarkan memasuki peperiksaan. Mereka amat-amat kesal dan kecewa oleh sikap seorang pegawai Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK), bahagian Atase Pendidikan MSD Cairo yang menjadi penyebab mereka tidak dapat memasuki peperiksaan. Anda pasti tertanya-tanya, kenapakah mereka tidak dibenarkan memasuki peperiksaan? Jawapannya ialah disebabkan sikap tidak professional dan tidak ada sifat integriti pada seorang pegawai yang menguruskan bahagian pendaftaran mereka iaitu Encik Khairi Jalaluddin.

Beliaulah punca mahasiswa-mahasiswi Qiraat Al-Azhar lemah semangat untuk meneruskan pengajian. Sedangkan jawatan yang disandangnya ialah bahagian pendidikan. Sepatutnya beliau menjadikan mahasiswa-mahasiswi di Mesir ini bersemangat untuk belajar, tetapi hal sebaliknya telah berlaku. Mahasiswa-mahasiswi Qiraat Al-Azhar tidak dapat menduduki peperiksaan adalah kerana urusan pendaftaran yang masih tidak dapat diselesaikan hingga ke hari ini.

Semua borang-borang yang berkaitan dengan pendaftaran telah pun diserahkan oleh pihak mahasiswa kepada Khairi bahagian Atase Pendidikan MSD Cairo pada bulan Disember 2009 lagi. Tetapi hingga bulan Mei 2010, nama mahasiswa-mahasiswi Maahad Qiraat Al-Azhar masih lagi tiada di maahad. Persoalan yang timbul ialah, Encik Khairi bin Jalaluddin ini menjalankan tugas atau tidak? Dalam jangka masa 5 bulan, amat mustahil jika urusan pendaftaran masih belum selesai.

Berita yang amat mengecewakan lagi ialah apabila beliau selalu mengeluarkan janji-janji manis semata-mata untuk menyejukkan hati mahasiswa-mahasiswi yang bertanya. Pihak pengurusan pelajar telah berjumpa dengan pegawai yang menguruskan sesi pendaftaran ini. Jawapan yang diberikan ialah nama mahasiswa-mahasiswi akan berada di Maahad Qiraat dalam masa 10 hari lagi. Setelah 10 hari dan beberapa kali 10 hari pihak pengurusan pelajar berulang alik bertanya tentang masalah pendaftaran ini seperti yang dijanjikan. Ternyata janji manis bertukar tawar.

Khairi juga telah menjanjikan bahawa hasil pertemuan beliau dengan Syeikhul Al-Azhar untuk menyelesaikan masalah ini akan dimaklumkan. Kemudian beliau bertukar pula kenyataan bahawa beliau akan menyiarkan di dalam laman web Atase pendidikan (http://ataseakademik.blogspot.com) pada 5/6/2010. Hingga hari ini 6/5/2010 tidak disiarkan. Apabila mahasiswa-mahasiswi bertanya, beliau menyuruhnya supaya bertanya kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Apa kaitannya hasil pertemuan itu dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia? Susah sangatkah untuk berlaku jujur? Kemudian apabila ditanya lagi, beliau menyuruh mahasiswa bertanya kepada Encik Zulkifli (pegawai JPMK).

Apa yang mahu diutarakan disini ialah kenyataan beliau yang sering bertukar dan bersifat menipu mengakibatkan mahasiswa-mahasiswi merasa meluat dengan janji-janjinya. Benarkah beliau ingin menjaga kebajikan pelajar di Mesir? Bukankah kewujudan JPMK adalah untuk menjaga kebajikan pelajar? Sungguh kesal dan kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh beliau. Terbaru beliau mengeluarkan kenyataan bahawa mahasiswa-mahasiswi Maahad Qiraat dibenarkan menduduki peperiksaan pada bulan Julai. Kenyataan ini dikeluarkan melalui mulut yang manis! Bukan bertulis.

Mahasiswa-mahasiswi Qiraat merasa amat-amat tertekan dengan adanya pegawai yang bersikap sebegini. Kenyataan peperiksaan boleh diambil pada bulan Julai ternyata membuatkan mahasiswa-mahasiswi Maahad Qiraat tidak percaya akibat beberapa kali telah ditipu oleh beliau. Semoga Allah s.w.t. membalas perbuatannya dengan balasan yang setimpal!

Kami merayu kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai kemampuan menyelesaikan masalah ini supaya tampil membantu kami di sini kerana suara kami semakin dipermain-mainkan oleh beliau. Kami amat berharap kepada pihak berwajib di Malaysia mengambil tindakan yang sepatutnya kepada pegawai ini kerana telah menyebabkan kami susah untuk mengaji di Mesir. Kami amat sedih dan kesal diperlakukan sebegini. Kami datang ke sini adalah untuk menuntut Ilmu, malangnya diperlakukan seperti ini. Sekian, sekadar meluahkan rasa.

Semoga Allah mendengar rintihan kami penuntut ilmu di sini.


Tulisan Khairi 30 April lalu


Saya juga merasa kesal dengan kejadian ini dan mendapat tahu ianya juga berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, sebelum saya hadir, ke bumi kinanah ini. Denyut nadi dan rintihan pelajar dapat dirasai menyebabkan saya kurang selera nak makan, saya tak mampu nak jawab semua panggilan telefon dengan masalah pelajar perubatan yang masih juga tertunggak sebelum saya ke sini. Justeru, pihak kami sedang berusaha semaksimum mungkin untuk menjernihkan keadaan, buang yang keruh, ambil yang jernih. Saya datang ke sini untuk menyelesaikan masalah dan tidak ada di hati kecil saya perasaan untuk "memilih bulu" dalam menyelesaikan hal pelajar samada perubatan atau pengajian Islam.

Setakat ini, apa yang saya dapati kenyataan hanyalah dibuat secara lisan "bahawa pelajar Qiraat akan dita'jilkan (dilambatkan) mengambil peperiksaan pada bulan Julai" oleh Syeikh Abdul Baqi, Amin al-Aam Majmak al-Bhuth al-Islamiah pada 29 April 2010 (Khamis). Saksi utama ialah Ustaz Sulaiman Zaki.

Justeru, pihak JPMK berusaha sekali lagi dengan mengaturkan pertemuan dengan Syeikh al-Azhar yang baru Dr. Ahmad Tayyib pada hari Selasa 4 Mei 2010.

Syeikh al-Azhar ini merupakan ulamak yang hebat dan mematuhi undang-undang. Sudah tentu dia mempunyai gaya kepimpinan yang tersendiri dari yang sebelumnya.

Untuk makluman, fail pelajar masih lagi di Idaratul Wafidin al-Azhar, hanya menunggu tandatangan dan persetujuan Syeikh al-Azhar.

Mohon kepada pelajar-pelajar solat hajat, agar dibukakan hati Syeikh al-Azhar yang baru ini supaya beliau bersetuju membenarkan pelajar Qiraat mengambil peperiksaan bertulis pada 8 Mei 2010.

Saya menasihatkan pelajar agar mengulang kaji lagi "hafazan al-Quran secara bertulis" sebelum keputusan secara hitam putih dipaparkan di laman web JPMK.

Saya juga sedang mengumpul maklumat dan punca kelewatan dari pelbagai sumber. Jika ada sebarang maklumat sila hantar e-mail kepada irfankhairi08@gmail.com , Harapan saya jangan buat spekulasi tetapi carilah jalan untuk menyelesaikan.

"Anggaplah ini adalah sunnah orang yang berjuang. Semoga al-Quran dapat membentuk akhlak kita semua"


Ikhlas dari;

Khairi bin Jalalluddin
Atase Pendidikan (Akademik)


Dari : Mahasiswa Kesal


Kata Kunci :


MSD : Malaysian Student Department
JPMK : Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah
Maahad : Sekolah
Encik Khairi Jalaluddin : Pegawai yang menguruskan kemasukan pelajar
Mahasiswa Qiraat: Mahasiswa yang mengambil jurusan hafazan al-quran di Mesir

Ralat :

Encik Zulkifli (pegawai JPMK)*. beliau adalah (Pemangku Pegawai JPMK yang sedang berada di Malaysia)

Rujukan :

1-luahan Mahasiswa harakah daily

2-beberapa Kenyataan tidak bertanggungjwb http://ataseakademik.blogspot.com/

3- Isu-isu JPMK http://ibnuirfadzil.blogspot.com/

4- balas hujah dr persatuan pelajar MAQAZ dan DPMM

5- Kronologi peristiwa sebenar MAQAZ dan DPMM



.........................................................................

~Mujahidin~

Takhassus Qiraat, Al-Azhar,
Shoubra, Mesir.
(St.Theresa, Shoubra)
(7.00am Mesir)

"Kata-kata orang yang bijaksana adalah ubat apabila ianya benar dan menjadi pahit apabila ianya salah"

Read more...

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP