Sunday, December 30, 2007

BILA AL-QURAN MULA BERBICARA

Waktu engkau masih kanak-kanak.....
kau laksana kawan sejatiku
Dengan wudu',
Aku kau sentuh dalam keadaan suci..
Aku kau pegang..
ku, kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih
ataupun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra

Sekarang engkau telah dewasa.....
Nampaknya kau sudah tak berminat lagipadaku..
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah...?
Menurutmu,
mungkin aku bahan bacaan
yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu
aku hanya untuk anak kecil
yang belajar mengaji.......

Sekarang..
Aku tersimpan rapi sekali
sehingga engkau lupa di mana
Aku tersimpan..
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai
pengisi stormu..
Kadang kala Aku dijadikan mas kawin
agar engkau dianggap bertaqwa
Atau Aku kau buat penangkal
untuk menakuti iblis dan syaitan

Kini....
Aku lebih banyak tersingkir,
dibiarkan dalam kesendirian ,kesepian..
Di dalam almari, di dalam laci.
Aku engkau pendamkan..
Dulu... pagi-pagi...
surah-surah yang ada padaku
engkau baca beberapa halaman..
Di waktupetang..
Aku kau baca
beramai-ramai bersama temanmu di surau.....

Sekarang...
seawal pagi sambil minumkopi...
engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang
engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi
ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau abaikan dan engkau lupakan...
Waktu berangkat kerja pun
kadang engkau lupa
baca pembukasurah2ku(Bismillah)..
Di dalam perjalanan
engkau lebih asyik
menikmati muzik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah
yang terdapat di dalam keretamu..
Sepanjang perjalanan,
radiomu selalu tertuju
ke stesyen radio kesukaanmu
Mengasyikkan..

Di meja kerjamu tidak ada Aku
untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di Komputermu pun kau putar muzik favorite-mu
Jarang sekali engkau putar ayat-ayatku.........
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun
kau abaikan...
Engkau terlalu sibuk dengan urusan duniamu..
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini
sudah benar-benar hampir melupaiku..
Bila malam tiba
engkau tahan bersekangmata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran televisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau
sanggup duduk
Hanya sekadar membaca berita murahan
dan gambar sampah

Waktupun cepat berlalu.........
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama
Seingatku,
hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku..
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu
Engkaupun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulanmu
Bila engkau di kubur sendirian
menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolong kamu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s. w. t yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah s. w. t..

Sekarang engkau begitu enteng
membuang waktumu...
Setiap saat berlalu...
Dan akhirnya.....
kubur yang setia menunggu mu...........
Engkau pasti kembali, kembali kepadaTuhanmu
Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati...
Di kuburmu nanti....
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat..
Dan Akulah "Al-Qur'an",kitab sucimu.....
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah Aku kembali...
bacalah Aku kembali setiap hari..
Karena ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera Aku dari almari,lacimu.......
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu..
Sentuhilah Aku kembali...
Baca dan pelajari lagi Aku....
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari
walau secebis ayat
Seperti dulu.... Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan aku engkau biarkan aku sendiri....
Dalam bisu dan sepi....
Maha benar Allah, yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana...


"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni-penghuni neraka. Mereka kekal didalamnya."(QS Al-A'raaf :36)
......................................................................................................

Ya allah berilah kekuatan kepada hamba mu ini dalam meniti hari dengan penuh amalan kebaikan dan kebajikan..sesungguhnya tiada daya bagi hamba mu ini melainkan dengan kekuatan yang dikurniakan oleh Mu....ameen~~

Read more...

Kisah Nafsu yg degil pada perintah Allah SWT

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud :

"Wahai akal mengadaplah engkau."Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah saya?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan saya dan saya adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."

Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri.

Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah saya?". Lalu nafsu berkata, "saya adalah saya, dan Engkau adalah Engkau." Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya.

Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah saya?". Lalu nafsu berkata, "saya adalah saya dan Engkau adalah Engkau." Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun.

Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah saya?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " saya adalah hamba-Mu dan Kamu adalah Tuhanku."

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, kerana jika nafsu yang mengawal kita maka binasalah diri...

Read more...

Monday, December 24, 2007

Tanda 100 hari sebelum hari mati...

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja.

Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Bagi mereka yang sedar akan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda tersebut.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat.

Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula
mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa
yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk
ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah
syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula. Sesengguhnya mengingati mati itu adalah wajib....

Read more...

Sunday, December 23, 2007

WARKAH BUAT IBU TERSAYANG



Mak……..
Terlalu bosan rasanya duduk membilang hari.
Dah hampir sepuluh tahun mak pergi,
Rasanya baru semalam mak peluk kiter kan
sejuk syahdu masih terasa lagi nih....



Mak tau tak.....
itu lah pertama kali mak peluk anak mak yang nakal ni sejak kiter dewasa.…
dan itu juga terakhir kali nya.
Emmmm...rupanya mak dah tau mak nak pergi jauh....
nak tinggal kan anak2 mak.....
nak tinggal kan dunia fana ni.....
mak macam dan sedia.....

Seminggu sebelum tu.....mak dah menganyam tikar mengkuang 3 helai.....
Akak kata sampai ke pagi mak anyam tikar tuu.....
tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih.....
kakak pun rasa hairan.....
mak tak penah buat gitu.....
pastu mak pasang radio kecil di sebelah mak.....
tapi mak seolah2 tak sedar bahawa rancangan radio tu siaran siam.....
kengkadang siaran indonesia...mak terus tekun menganyam...
Rupanya tikar yang telah mak siapkan tu di gunakan untuk mengiringi mak ke kuburan..



Pastu mak sapu sampah sekeliling rumah bersih2....
pastu mak jemur karpet-karpet...
pastu mak ubahkan sofa ke tempat lain..mak biarkan ruang tu kosong..
rupanya kat situ jenazah mak diletakkan..
paling menarik sekali mak bgtau kat maner sume duit dan barang kemas mak..
ada kat dalam almari.....
ada kat dalam dalam beg.....
ada dalam ASB.....
ada kat dalam Tabung Haji..
mak cakap tak berapa cukup lagi....
ada kat dalam gulung tikar.....
masa tu mak perasan takk..??
kiter gelak sakan bila mak bgtau duit dalam gulung tikar...kiter
kata mak ni memang pesenn lama laaa...
mak cuma gelak jer...
eeemmm..bahagiaa nya saat ituu..



Mak.....
Hari tu hari sabtu 18/08/1999 pukul 3 petang mak tiba2 sakit perut.....
bila malam tu kiter sampai dari KL.....mak dah dalam kesakitan.
Akak dan abang kat kampong semua dah pujuk.....
mak tetap takmau pi hospital.....
dan cuma tinggal giliran kiter sahaja yang belum pujuk.
Mak kata mak takmau duduk dalam hospital.....
tapi kiter berkeras juga pujukk..
nanti di hospital ada doktor...ada ubat untuk mak..
kat rumah kami hanya mampu sapu minyak dan urut ajer..
Mak tetap tak bersetuju.....mak memang degil...
tak salah, anak mak yang ni pon mengikut perangai mak tu..
Tapi akhirnya bila melihat keadaan mak makin teruk....
mak sakit perut sampai nak sentuh perut mak pon sakit kami adik beradik
sepakat hantar juga mak ke hospital.....



Mak.....
amponkan kami semua...
kami nak mak sehat...
kami sayang mak...
kami tak mau mak sakit...
kami terpaksa juga hantar mak ke hospital....
ampon kan kami yer mak....



Mak.....
Malam itu abang bawa mak ke hospital dan itu lah pertama dan terakhir kali
mak naik kereta kiter...
Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya mak, kiter kata nak
beli kereta....



Mak asyik tanya ajer..cukup ker duitt..
kiter jawab pula...kalau tak cukup,
mak kan banyak duit...
mak gelak ajerr.....
Lepas tu bila kereta kiter sampai.....mak buat kenduri kesyukuran.....
Dan kiter masih ingat lagi...bila kiter eksiden terlanggar kelinn naik motor.....


Punya la kiter takut...kiter warning kakak kiter jangan sesekali bgtau kat mak.....
Bila balik sahaja kampong....kiter cepat-cepat simpan keta dalam garaj.....
Tapi mak perasan juga bumper depan kemek...mak tanya kenapa...?
Selamba jerr kiter jawab terlangar pokok bunga.....
Mak....tujuan kiter menipu tu supaya mak tak risau...
Maafkan kiter kerana sampai mak pergi mak tak tau hal sebenar...
mak, kiter menipu mak kan...ampon kan kiter....


Mak.....



Jam 4.30 pagi 19/08/1999
Bila tiba aja kat hospital....nurse tengah balut mak dengan kain putih.....
mak mesti nampak kiter jatuh terduduk di lantai hospital...
Mesti mak nampak abang cium dahi mak.....
Mesti mak nampak akak baca doa untuk mak....
Mesti mak nampak adik terduduk kat kerusi kat sudut itu...
mesti mak nampak semua tu kann...kann..kannn
Mak tau tak....



Pagi tu balik dari hospital jam 5.20 pagi kiter mamandu dalam keadaan
separuh sedar...
Adik kat sebelah diam melayan perasann...
Kenangan bersama mak berputar dalam kepala ini...
jalan di depan terasa makin kelam.....
airmata dah tak mampu di tahan....
Masa tu seandainya apa-apa terjadi di jalan itu kiter rela...
Namun alhamdulillah akhirnya kiter sampai juga. di sebab kan pagi masih awal,
jadi jalan tu lenggang..kosong....sekosong hati ini.....
Sepanjang pe! rjalanan terasa kedinginan subuh itu lain benar suasananya.....
terasa syahdu dan sayu gitu...dinginnnn....



Mak.....
Kiter masih ingat lagi...
Kiter baca AlQuran kat tepi mak temankan mak...
Jam 11.00 pagi mak di mandi kan....
Anak2 mak yang pangku masa mak mandi....
Mak mesti rasa betapa lembut nya kami mengosok seluruh tubuh mak.....
Kiter gosok kaki mak perlahan lahan.....



Mak perasan tak...?
Makcik yang mandikan mak tu pujuk kiter.....
Dia kata..." dikk...jangan nangis...kalau sayang mak jangan buat
gitu...jangan
nangis ya.."
Bila makcik tu kata gitu...
lagi laaaa laju airmata ni..tapi kiter kawal supaya tak menitik atas mak....



Mak.....
Sampai takat ini surat ni kiter tulis.....
kiter nangis ni.....
Ni kat dlm bilik...baru pukul 4.00 pagi....
Takder orang yang bangun lagi.....
kiter dengar nasyid tajuk "anak soleh"
kiter sedih...kiter rindu kat mak..!
Takpa la.....nanti bila kita selesai sembanyang subuh, kiter baca yassin untuk mak...
mak tunggu ya...!



Mak..
Sebelum muka mak di tutup buat selamanya...
Semua anak2 mak mengelilingi mak...menatap wajah mak buat kali terakhir....
Semua orang kata mak seolah2 senyum aja...
Mak rasa tak....masa tu kiter sentuh dahi mak...
kiter rasa sejukkkk sangat dahi makk.....
Kiter tak mampu nak cium mak...kiter tak daya....
kiter tuliskan kalimah tauhid kat dahi mak dengan air mawar...
Airmata kiter tak boleh tahan....



Mak mesti ingat kan yang anak mak ni jadi imam solat jenazah untuk mak...
tapi kite suruh tok imam bacakan doa sebab kite sebak....


Jam 12 tengahari mak diusung keluar dari rumah....
Akak pula dah terkulai dlm pelukan makcik..
badan akak terasa panas...
makk...anak mak yang seorang tu demam....
Mak tauu...cuma akak sorang saja anak mak yang tak mengiringi mak ke tanah perkuburan...



Mak.....
Hari2 ku lalui tanpa kewujudan mak lagi...
Begitu terasa kehilangan mak...boleh kata setiap malam selepas maghrib anak mak
ini berendam airmata...


Dan sampai satu tahap....masa tu malam jumaat selepas maghrib...
Selepas kiter baca yassin ngan kawan-kawan.
entah kenapa biler kat bilik kiter keluarkan gambar2 mak pastu apa lagi...
semakin kiter tenung terasa semakin sayu...tangisan tak dapat dibendung...
Mak tauu...kiter cuba bertahan...
memujuk diri sendiri tapi tak juga reda...
Kiter rasa nak telefon mak...
nak cakap dengan mak....
anak mak yang ni dah tak betul kan..????
Dan akhirnya dalam sedu sedan itu kiter telefon kampong...
Kiter cakap dengan kakak..kiter nangis lagi.
Puas la kakak memujuk kiter...
Akak kata..." tak baik laa nangis aje..doa lah untuk mak..nanti kalau gini
ajer mak yang susah kat sana.."
Dan akhirnya akak juga nangis.....
Agaknya mak nampak adegan tu...
sebab malam jumaat kata orang roh balik rumahh...
mengharap sedekah dari anak2 nya...


Mak tau tak...di saat itu kerinduan terasa menusuk sehingga ke hulu hati...
rasa nyilu sangat....
menusuk-nusuk sehingga terasa begitu sakit dalam dada ni....
Sampai sekarang bila kerinduan itu menjelma...hanya sedekah al-fatihah
kiter berikan.....


Mak....
cukup la sampai sini dulu....
kawan kiter dah ketuk pintu bilik tu....
kejap lagi kami nak pergi solat subuh kat masjid...
selalunya, kiter yang bawak mak naik motor kan...
kali ni kiter jalan kaki dengan kawan pulak...
esok kiter ingat nak tulis surat kat ayah pula....
Mula2 kiter tak tau nak hantar mana surat nih...
pastu kawan kiter bgtau...simpan je buat kenangan..


Kiter cuma tau alamat ni aje...
Takper yer mak...kiter kasi orang lain baca...
Kiter stop dulu...sebab kawan kiter dah lama tunggu tu.
akhir kata untuk mak, I LOVE YOU SO MUCH dan jutaan terima kasih kerana
membesarkan kiter...
memberi seluruh kasih sayang dari kecil sampai masuk sekolah..
sampai masuk unibesiti..
sampai kiter boleh rase naik kapal terbang...
boleh rasa duduk kat negara orang...
Sampai akhir hayat ini jasa mak tak akan mampu kiter balas..


Sekian terimakasih.


Yang Benar
~Anak mak yang dah tak degil~



Pesanan:


· Hargailah kewujudan mak kita


· Hargailah segala pengorbananan mak


· Berbaktilah selagi mereka masih hidup dan jangan sesekali membantah segala suruhannya yang baik


· Merendahkan suara ketika berbicara


· Ingatlah kita hanya ada satu ibu dan satu bapa saja dalam dunia ini..dan sekiranya Allah menjemput salah seorang atau kedua-duanya, kita tidak akan bertemu lagi dengan mereka sehinggalah hari kebangkitan nanti.


· Doa anak yang soleh sahaja yang dapat meringankan beban seksa ibu dan bapa kita


Read more...

MAKAN BERTALAM UNTUK MEMBERI

“Rasanya, hidup saya adalah hidup bersama. Saya tidak ada banyak benda yang saya kenangkan sebagai SAYA. Di setiap keadaan, saya akan bersama dengan ramai sahabat yang menjadikan saya lebih selesa untuk mengimbau semalam sebagai KAMI. Kami bukan hanya bersama ketika mengulangkaji pelajaran, malah kami turut merasa KAMI ketika makan.”

Makan di talam itu bukan sekadar makan di talam. Orang selalu menyebut, you are what you eat. Dan, also you are how you eat. Soal memilih makanan yang berkhasiat adalah untuk manfaat fizikal. Fizikal yang sihat pula adalah rumah tinggal untuk mental yang cergas. Semua orang menghafal pepatah arab: ”Akal yang sejahtera adalah pada fizikal yang sejahtera”. Tetapi soal bagaimana kita makan, adalah bahagian untuk hati dan jiwa. Cara kita makan, berperanan mendidik hati kita, sebagai rumah kediaman iman. Kalau kita makan di pinggan, kita selalunya makan untuk mengenyangkan diri sendiri. Tetapi kalau kita makan bertalam, kita makan untuk mengenyangkan saudara-saudara kita.

Kadang-kadang kita silap. Kita selalu rasa yang apabila kita memberi, milik kita akan berkurang. Sifat Allah tidak begitu. Sebagaimana Allah boleh mencipta sesuatu dari tiada kepada ada, Allah juga maha berkuasa menambah hasil dari sesuatu yang dikurangkan. Itulah berkat namanya. Duduk mengadap talam, kerana mahu terdidik. Biar masa makan pun, ada tambah iman. Tentang isu makan bertalam ini, apabila kita makan bertalam, ada adab dan tertib yang menjadikan kita terdidik.

Pertamanya, kita akan melawan perasaan ego yang menjadi tembok pemisah diri dari berukhuwwah. Hal ini sama dengan perbuatan kita merapatkan saf di dalam Solat. Kalau perasaan kita ada meninggi diri dan merendahkan orang lain, maka kita tidak akan selesa dengan saf yang rapat.

Kedua, apabila kita tahu yang kita makan setalam dengan saudara kita yang lain, maka kita dengan sendirinya akan bertertib ketika makan. Tidaklah nasi disepah-sepah, lauk dicubit tak tentu hala. Sama seperti di dalam Solat Jemaah tadi. Kalau rapat saf tetapi tak jaga adab di dalam Solat, memang banyak kesulitan yang timbul. Apabila kita makan di talam, kita akan lebih sedar kepada hak orang lain. Apabila semua orang fikirkan saudara-saudaranya, maka dengan sendirinya hak masing-masing diterima. Tapi kalau semua nak menuntut hak, susahlah…..

Menyentuh tentang lifestyle pelajar-pelajar hari ini yang self centered.. Asyik fokus tentang diri sendiri je. Tabiat sebegini menyebabkan semua orang tidak terlatih untuk memikirkan tentang hal orang lain. Malah bukan sahaja tidak terfikir, memang tidak berupaya untuk mempertimbangkan orang lain. Contoh, apabila ubat gigi dikongsi bersama, kita akan ada pemantauan diri secara inside-out. Hati kita dengan sendiri akan berkata supaya adil dan bertimbang rasa. Soalan, kenapa di dalam sebuah rumah, seorang suami, isteri dan anak-anak boleh berkongsi makan, berkongsi minum dan saling menjaga keperluan sesama ahli keluarga? Kenapa tidak dalam “keluarga” di institusi ini?

Menerima memang seronok. Ia sifat semulajadi manusia. Tetapi memberi jauh lebih seronok dan bermakna, kalau kita memberi dengan KASIH SAYANG. “Tanpa kasih sayang, memberi adalah beban. Dengan kasih sayang, memberi mendatangkan makna kehidupan.” Dan apabila kita makan setalam, kita sering berfikir untuk memberikan hak sahabat setalam kita. Apabila semua berperanan begitu, dengan sendirinya hak masing-masing tertunai. Dan bukan hanya pada soal makan di talam, malah seluruh hidup kita jadi bermakna apabila yang mencari ‘erti’ pada memberi. ‘Erti hidup’ pada memberi.


“Terima kasih Allah!, kerana Maha Memberi kepada KAMI.”

Read more...

TREND MENGURANGKAN RASA BERDOSA


"Stop ‘Arabising’ Malay Culture" atau "Berhenti MengArabkan Budaya Melayu". Perkataan itu menggambarkan misi mengembalikan semula identiti Melayu yang nampak telah terpadam oleh proses Islamisasi yang diterjemahkan sebagai Arabisasi. Antara budaya Melayu yang mahu ditonjolkan kembali adalah budaya tari menari.

“RAKYAT KETAGIH HIBURAN” inilah helah yang dijadikan sandaran. Iklan mestilah menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana agenda yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita sudah 'entertainment centered'. Malah wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi memenangkan idola masing-masing. Akhirnya berhibur menjadi tujuan hidup!

Mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih bernyawa, mufti tetap berfatwa, pendakwah menegur, pemimpin mengeluh. Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah ketagihan. Sembahyang? sembahyang juga. Tapi kemudian kembali berhibur. Lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun nama Tuhan tetap diselitkan. Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam masyarakat kita di mana Islam menjadi kosmetik paling murah tapi laku.

Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang bagaimana? Nasyid umpama iklan. Iklan yang berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika yang dikenang hanyalah iklan, sedangkan barangan tidak terjual malah tersisih dari pasaran, maka iklan itu sudah tersasar. Produk yang diiklankan, pelakon iklan yang naik saham!

Nasyid menjadi wadah 'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang kontemporari. Nasyid bertujuan 'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi yang mendengar nasyid cintan cintun dan rap sampah sarap hari ini, berapa ramai yang 'membeli' demi Tuhan? Adakah cinta kepada Ilahi meningkat selepas menghayati nasyid seperti itu? Persoalannya, yang manakah yang laku? Adakah Islam semakin laku? Adakah Tuhan semakin diAgungkan? Amat pelik, jika nasyid itu kononnya mempromosikan Islam tetapi Islam tetap tidak laku di pasaran. Iklan laku, barang tak laku. Nasyid laku, Tuhan tetap terpinggir dan dilupakan. APAKAH SEMUA INI?

Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran. Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan hati dan kebaikan pula mententeramkan jiwa. Pandangan Allah itu adalah world view yang berasaskan tauhid.

Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penyanyi yang bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang berlatar belakangkan agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita sedar hiburan kita sekarang adalah dosa. Maka dengan adanya kosmetik Islam tersebut ia dapat mengurangkan rasa berdosa. Seperti orang yang menyamun harta orang lain, kemudian sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan. Kurang sedikit rasa berdosa.

Sedangkan apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam pengajarannya ialah: MEMBUANG RASA BERDOSA KETIKA MASIH MELAKUKAN DOSA ADALAH SEBESAR-BESAR DOSA!


Ya Allah.. selamatkan kami dari fitnah akhir zaman

Read more...

Saturday, December 22, 2007

“ 10 GOLONGAN MANUSIA YANG DIUSIR DARI PADANG MAHSYAR “

1- Mereka di usir berupa kera.
Mereka adalah manusia yang suka mengadudomba.

2- Mereka di usir berupa babi.
Mereka adalah yang suka memakan barang yang haram.

3- Mereka dihalau dalam keadaan terbalik kaki di atas dan kepala di bawah.
Mereka adalah dari golongan yang suka berdusta.

4- Mereka dihalau dalam keadaan bisu dan pekak serta tidak berakal.
Mereka adalah dari golongan yang riak bangga diri dan sombong.

5- Mereka dihalau dalam keadaan mengunyah lidah sendiri sedangkan lidahnya itu menjulur ke bawah sampai ke dadanya dan dari mulut keluar nanah yang menjijikan.
Mereka adalah ahli pidato yang ucapannya berlainan dengan perilakunya.

6- Mereka dihalau dalam keadaan tersalib di pohon kurma dari neraka.
Mereka adalah menusia yang berusaha mengajak orang ramai untuk menyokong pemimpin yang tidak jujur.

7- Mereka dihalau dalam keadaan terpotong tangan dan kakinya.
Mereka adalah orang-orang yang mengganggu jiran-jiran.

8- Mereka dihalau dalam keadaan buta.
Mereka adalah golongan yang curang dalam menetapkan hukum.

9- Mereka dihalau dalam keadaan busuknya lebih busuk daripada bau bangkai.
Mereka adalah orang yang gemar melepaskan nafsu syahwat dan menolak perkara wajib seperti zakat, puasa, tidak menjalankan kerja dakwah dan sebagainya.

10-Mereka dikumpulkan dalam keadaan memakai pakaian besi yang panas.
Mereka ini adalah manusia yang syirik kepada Allah.

Marilah kita sama-sama renungi, adakah kita akan tergolong di antara golongan-golongan di atas???? Jika kita tidak mahu tergolong dengan mereka, maka perbaikilah diri kita dari sekarang sementara kita mempunyai hidup di dunia yang fana ini.

Read more...

couple HARAM ke????


5 sebab menjadikan bercouple HARAM......


PERTAMA: TIDAK MEMPUNYAI NIAT YANG BAIK ATAU SEBALIKNYA

Sesebuah perhubungan ‘istimewa’ antara seorang lelaki dan wanita seharusnya didasari dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk berkahwin. Justeru sebarang perhubungan yang tidak bertujuan seperti tersebut adalah tidak harus seperti bercouple untuk berhibur, bersuka-suka dan sebagainya.



KEDUA: TIDAK MEMATUHI (MELAMPAUI) SYARIAT AGAMA

Lumrah bercouple seakan tidak dapat lari dari aktiviti seperti ber“dating”, ber“shoping” dan sebagainya hatta ada yang sampai ke peringkat “membonceng”. Tidak kurang juga (tanpa segan silu) menggunakan istilah-istilah yang kononnya menunjukkan sikap ‘caring’ seperti memanggil “darling” kepada pasangannya.

Paling tidak, pasti di dalam pertemuan(dating) akan berlaku pandangan mata yang tidak harus, perbicaraan yang tidak wajar dan seumpamanya. Semua perlakuan ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang mengharamkan perhubungan bebas di antara lelaki dan perempuan. Yang paling penting, apabila Syariat Islam mengharamkan sesuatu perkara/perbuatan, maka wasilah atau tindakan yang menuju kepada perkara yang diharamkan tersebut juga turut diharamkan.

Kaedah Fiqh ada menyebutkan : “sesuatu yang membawa kepada yang haram, maka ia juga menjadi haram”. Justeru berdasarkan kaedah ini, maka bercouple yang membawa kepada perlanggaran hukum syariat juga adalah haram.



KETIGA: MENJATUHKAN MARUAH (PERIBADI) SEORANG WANITA

Apabila pasangan yang bercouple berdating, maka peribadi seorang wanita muslimah akan dipersoalkan. Khalayak tidak akan berbicara tentang si lelaki yang bercouple tersebut, tetapi si perempuan. Masyarakat akan bertanya bagaimana begitu mudah si perempuan tersebut membiarkan dirinya diusung(maaf jika agak keterlaluan) ke sana-sini atau setidak-tidaknya umum akan menganggap bahawa perempuan tersebut telah dimiliki.

Kesan buruk yang mungkin dihadapi ialah apabila berlaku perpisahan antara pasangan tersebut. Masyarakat akan mula membuat pelbagai tanggapan negatif terhadap si perempuan tersebut. Prasangka-prasangka negatif akan direka dan dihebahkan. Akhirnya berlakulah tohmahan-tohmohan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan seorang wanita. Ingatlah bahawa Islam amat memprihatinkan penjagaan maruah seorang wanita. Di atas dasar itulah adanya hukum Qazaf dan kerana tujuan tersebut jugalah Islam mengharamkan perhubungan yang di luar batasan. Sebabnya adalah kerana Islam memelihara kehormatan seorang wanita.




KEEMPAT: MEMBAZIRKAN WANG KEPADA PERKARA YANG TIDAK WAJAR

Di dalam budaya bercouple, biasanya pasangan lelaki akan banyak menghabis duit pinjaman PTPTN, JPA, yayasan negeri (bagi mahasiswa IPT) atau duit pemberian ibubapa untuk memenuhi kehendak pasangan wanitanya. Ajak saja dinner, lunch, breakfeast atau bershoping pasti si lelaki yang perlu mengeluarkan duit poketnya. Terdapat juga keadaan di mana si perempuan yang berbelanja si lelaki. Itu belum dikira dengan pembeliaan kad top-up handset yang out of control. Hanya kerana call untuk tanya khabar, dah makan ke belum, ada yang sanggup men“top up” handset mereka beberapa kali dalam seminggu. Cuba bayangkan jumlah wang perlu dibazirkan hanya untuk perkara yang sangat remeh dan tidak perlu. Paling menyedihkan, wang tersebut adalah pemberian keluarga yang seharusnya digunakan bagi tujuan pengajian. Begitu juga wang pinjaman PTPTN, ia adalah hutang yang perlu dibayar selepas tamat pengajian. Justeru, penggunaan kedua-dua jenis wang ini kepada perkara yang tidak wajar adalah tidak harus dan ditegah oleh syarak. Perbuatan membazir dan menyalahgunakan harta juga adalah amalan syaitan.(Rujuk Al-Isra’ ayat 27)




KELIMA: MEMBUANG MASA KEPADA PERKARA YANG TIDAK SEWAJARNYA

Seperkara yang wajar diprihatinkan di sini ialah penggunaan waktu kepada perkara yang tidak bermanfaat. Lebih malang lagi, masa yang amat terhad sebagai seorang mahasiswa telah diisi dengan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh Allah. Bukankah berdating, berbual telefon secara marathon dan lain-lain aktiviti rutin bercouple merupakan perbuatan yang menyimpang dari anjuran agama. Justeru setiap saat dan minit yang digunakan bagi tujuan tersebut akan dipersoal dan diperbicarakan di hadapan Allah.

Perlu diingat bahawa Islam bukan mengharamkan secara total perkara yang dinyatakan di atas. Islam tidak menghalang perbuatan tersebut, tetapi meletakkan beberapa prasyarat yang perlu dipenuhi. Sekiranya kita gagal mengikut syarat-syarat tersebut, maka status perbuatan tersebut menjadi HARAM serta menjauhkan diri pelaku daripada kasih sayang dan cinta Allah. (Rujuk kitab al-Halal wal Haram Fil Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi)


-----------------


"Kebahagiaan yang sebenar lagi utama terletak pada kemenangan dalam memerangi hawa nafsu dan menahan kehendak-kehendak yang berlebih-lebihan."

Read more...

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP