Friday, March 28, 2008

91 % SETUJU AUKU DI MANSUHKAN



Buletin Utama jam 8 malam ( 25 . 03 . 08 ) di TV 3 telah mengemukakan topik : AUKU wajar di mansuhkan ! Setuju atau Tidak ? untuk dipilih oleh penontonnya.
Akhir sessi Buletin , seperti biasa disiarkan keputusan undian atau pilihan penonton dan jelas apa yang muktamad ialah tertera keputusannya : 91% SETUJU AUKU di mansuhkan !
DPP Pusat sejak awal telah menegaskan pendirian bahawa AUKU amat wajar dimansuhkan justeru ia bagaikan penjara besi yang memagari mahasiswa selama ini.
AUKU telah membendung jiwa besar mahasiswa
AUKU telah meluntur semangat waja mahasiswa
AUKU telah memenjara bakat tinggi mahasiswa
AUKU telah memandulkan daya intelektual mahasiswa.
AUKU menjadi igauan ngeri sejak sekian lama kepada mahasiswa apabila mereka tidak lagi gah setara potensi ilmu yang dimiliki . Mereka hanya mampu berlegar di dalam kepungan 4 penjuru tembok besar kampus universiti .
Angkara AUKU , suara mahasiswa tidak lagi bergema di tengah rintihan rakyat tertindas untuk membela nasib mereka .
Ilmu , daya fikir , semangat dan keperibadian yang mereka bina di puncak menara gading tidak lagi mewakili masyarakat untuk diperjuangkan hak dan dipertahankan maruah mereka .
AUKU menyaksikan lahirnya mahasiswa yang lemah segala saraf kepekaan mereka terhadap isu yang menimpa rakyat dan negara . Bisu dan kelu terhadap kerakusan golongan mustakbirin menindas mustadhafin . Mengangguk dan mengiyakan segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah sang penguasa.
Tidak hairan apabila negara ketandusan pemimpin bertaraf nasional dan berwibawa pada hari ini untuk diketengahkan guna menerajui kepimpinan negara.
Realiti ini sangat dirasai apabila dilihat kepada menteri yang menganggotai kabinet pemerintahan negara kita pada hari ini dan sebelumnya , rata - rata terdiri dikalangan mereka yang korup , penuh skandal dan berpalit dengan pelbagai salah laku yang rendah moral dan tiada wibawa .
Begitulah juga , lahirnya penjawat awam yang tidak amanah terhadap jawatan dan tidak pula mesra terhadap masyarakat awam .
Lebih malang apabila negara hanya mampu menyaksikan bercambahnya mahasiswa dan graduan universiti yang tidak memiliki nilai diri dan tanda moral yang tinggi . Sehingga mereka mampu terjebak dalam pengaruh gejala sosial yang negatif dan gaya hidup yang rosak.
DPP Pusat melihat arus perubahan yang disebut "tsunami politik" yang melanda dan sekaligus memusnahkan landskap politik tanahair sebelum ini sewajarnya dilihat serius oleh golongan mahasiswa untuk mereka juga bangkit membebaskan diri dari belenggu AUKU yang kian usang .
Sangat tidak munasabah apabila rakyat dan masyarakat awam sedar serta insaf terhadap tuntutan perubahan setelah sekian lama mereka memendam derita , tiba - tiba mahasiswa masih termanggu - manggu kepanikan melihat gelora "tsunami" .
Masih kelu lidah untuk bersuara , masih kaku anggota untuk bertindak , masih tepu idea untuk mengolah , masih lesu semangat untuk berjuang dan masih takut jiwa untuk merdeka .
Segalanya angkara AUKU yang memasung mahasiswa sejak sekian lama sehingga segalanya lumpuh.
Apalah gunanya penubuhan universiti awam dan swasta yang ditubuh dan dibina di sana - sini malah tumbuhnya bagai cendawan selepas hujan , kiranya penubuhan universiti tersebut hanyalah seperti penjara besar yang akan terus mengekang pertumbuhan daya kepimpinan dan intelektual mahasiswa .
AUKU hanyalah penghalang utama untuk menghasilkan kelahiran mahasiswa yang tuntas dan tajam berfikir , mahasiswa yang berani dan besar jiwa , mahasiswa yang lepas dan cerdas bertindak , mahasiswa yang berwibawa dan karismatik .

Read more...

Friday, March 7, 2008

.:REMAJA DAN SIFAT KEPIMPINAN:.

SETIAP manusia adalah pemimpin, sekalipun hanya pemimpin kepada diri sendiri. Sifat kepimpinan wujud secara semula jadi dalam diri manusia.

Manusia mempunyai pandangan dan kemahuan, dan pastinya inginkan pandangan mereka dituruti dan dilaksanakan. Yang pasti, remaja adalah pemimpin di masa hadapan. Remaja merupakan golongan yang berusaha untuk memaksimumkan keupayaan tenaga dan kekuatan akal dan mempunyai potensi tinggi bergelar pemimpin satu masa nanti.

Namun, sejauhmanakah remaja menyedari bahawa mereka adalah pemimpin di masa depan? Sebaliknya, ramai di kalangan remaja lebih gemar melibatkan diri dengan budaya bersuka-suka (hedonistik), tidak suka berfikir dan tidak serius apabila menghadapi realiti masa kini.

Banyak aspek yang perlu ditekankan untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti di kalangan remaja supaya remaja terdidik dengan sifat kepimpinan yang benar dan mampu membantu membina negara, masyarakat dan umat.

Pemimpin yang berkualiti

Kepimpinan dalam konteks masa kini menuntut kebijaksanaan serta daya upaya yang dinamik untuk mencari formula kepada penyelesaian permasalahan umat yang semakin dihimpit cabaran globalisasi.

Tidak salah bagi seorang remaja bercita-cita menjadi pemimpin negara, asalkan mempunyai idealisme dan matlamat yang betul dalam hidupnya. Dirinya harus dilengkapi dengan ilmu, iaitu ilmu mengurus diri dan juga ilmu mengurus sistem.

Ilmu mengurus diri yang baik mampu menjadikan remaja yakin, sentiasa bersedia dan teguh menghadapi cabaran mendatang, manakala ilmu mengurus sistem adalah penting dalam membentuk suatu corak kehidupan yang bersistematik dan berlandaskan prinsip-prinsip yang telus dan amanah.

Remaja perlu dididik untuk sentiasa berusaha menguasai ilmu dan menginsafi akan peranan ilmu dalam membina negara dan umat. Gambaran yang diberi kepada umat Islam bahawa umat Islam adalah umat yang malas, suka berbalah dan hanya mengharapkan bantuan harus diubah.

Justeru, pemimpin juga perlulah di kalangan mereka yang berwawasan dan berpandangan jauh serta berupaya untuk menyampaikan pandangan dan melaksanakan idea-idea yang bernas kepada masyarakat.

Mendidik pemimpin yang berkualiti dan beristiqamah (konsisten) dengan misi dan visi bukanlah tugas yang mudah dan tidak terletak di bahu sesetengah pihak sahaja. Ia menuntut banyak proses pembelajaran dan pengalaman. Ini kerana keterampilan dan kewibawaan pemimpin amat penting dalam menempatkan diri di kalangan kepimpinan. Selain mempunyai asas keilmuan yang baik, kredibiliti seorang pemimpin juga diukur sama ada memiliki akhlak contoh dan peribadi mulia. Pemimpin yang mempunyai asas ilmu yang baik dan peribadi yang mulia akan melahirkan pengikut yang bijak serta matang menghadapi isu-isu yang timbul.

Dalam Islam, Allah mengutuskan rasul dan nabi untuk menjadi pemimpin kepada kaum mereka. Dalam setiap diri nabi itu wujud sifat bijaksana dan Allah telah membentuk peribadi para anbiya dengan keteguhan sifat dan contoh ikutan yang tinggi.

Allah berfirman: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (al-Ahzab: 21)

Oleh itu, kebijaksanaan akal perlu dikuatkan dengan iman dan peribadi yang mulia agar kepimpinan yang ditonjolkan berupaya merubah masyarakat ke arah sistem yang lebih dinamik dan maju dalam kerangka mentauhidkan yang Esa.

Selain itu, pemimpin yang baik juga harus mempunyai keupayaan menawarkan khidmat terbaik dan mampu mencari pendekatan terhadap masalah kepimpinan dan kepengikutan dengan bijaksana. Dalam konteks ini, remaja mempunyai pandangan dan kebijaksanaan yang terbatas.

Justeru, ilmu aqli dan ilmu naqli harus diseimbangkan agar permasalahan yang mendatang dapat diharungi bukan sahaja dengan pandangan zahir dan bersifat material tetapi juga dengan kekuatan rohani dan spiritual yang tinggi.

Secara umumnya remaja adalah golongan yang mempunyai banyak tenaga dan sifat memberontak yang kuat. Remaja mudah melatah, suka bertindak mengikut emosi namun tidak dinafikan semangat mereka yang tinggi. Oleh itu, remaja harus dididik supaya semangat tinggi dan keberanian dapat disalurkan ke lorong yang betul dan bermanfaat. Sikap bersedia menerima pandangan orang lain dan tabiat berbincang boleh disuburkan untuk melatih remaja supaya lebih terbuka dan terdedah kepada isu-isu persekitaran.

Dalam mendidik remaja menjadi pemimpin yang berkualiti, sikap kepekaan dan prihatin terhadap keadaam sekeliling adalah amat penting. Ini kerana, keramahan dalam memberi daya pimpinan mampu memikat perhatian pengikut agar faham mesej dan perjuangan yang ingin disampaikan. Pemimpin juga harus berupaya menjiwai dan mengamati permasalahan setempat serta mengolah cara penyelesaiannya.

Tanpa sikap prihatin dalam diri pemimpin, akan timbullah masalah yang berkuasa menindas mereka yang lemah, sekali gus tiada pembelaan masyarakat bawah. Apabila permasalahan dan hak-hak asas kehidupan manusia tidak dapat dipenuhi serta diburukkan oleh pemimpin yang tidak berintegriti, maka sistem masyarakat menjadi kucar-kacir.

Oleh itu, amat penting bagi remaja memahami bahawa kepimpinan mestilah mempunyai nilai-nilai yang baik untuk membantu merubah masyarakat ke arah suatu cara hidup yang lebih baik, bermakna dan saksama untuk semua.

Kesimpulan

BAKAT remaja perlu diasah dan dipupuk dengan matlamat yang betul supaya dapat melahirkan pemimpin yang seimbang, berakhlak mulia dan berketerampilan.

Banyak aspek yang perlu disuburkan dan remaja perlu dibantu supaya bakat dan potensi tidak disiakan begitu sahaja.

"..Tiada Islam tanpa Jemaah, tiada Jemaah tanpa Kepimpinan, tiada Kepimpinan tanpa Ketaatan.."~Saidina Umar Al-Khattab^^,

Read more...

Wednesday, March 5, 2008

MASJID KRISTAL DAN ERTI SEBENAR KETAMADUNAN ISLAM


oleh: Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi *


Beberapa minggu yang lalu, di dada hadapan akhbar ini terpampang berita tentang sebuah Masjid Kristal yang akan di bina di suatu tempat di negara ini. Diberitakan bahawa masjid itu adalah sumbangan sebuah syarikat yang mempromosikan barangan dari kristal. Diberitakan juga masjid itu dianggarkan berharga RM 22 juta bagi menampung jumlah qariah seramai kira-kira 120 orang. Saya tertarik untuk memberi beberapa komen tentang apa yang disebutkan oleh laporan berita tersebut serta implikasi penerimaan pendekatan terhadap persepsi tentang peranan masjid dewasa ini.


Masjid untuk Pelancongan??


Pertama, di dalam laporan berita tersebut, Masjid Kristal itu dijangkakan akan menjadi elemen untuk menarik pelancong ke tempat peranginan tersebut. Di sini saya ingin mempersoalkan tentang sama ada umat Islam seluruh dunia bersedia menerima konsep masjid sebagai setaraf dengan pembinaan sebuah ‘resort’ atau sebuah ‘tugu’ contohnya tugu burung helang yang tersergam di Pulau Langkawi. Kita sering disajikan dengan pendekatan contohnya beberapa masjid yang setiap satunya berharga beratus juta ringgit sebagai asset negara bagi menarik pelancongan. Kalau kita sedia menerima pendekatan baru ini maka kita akan melihat banyak lagi masjid yang akan di bina dengan kos tinggi walaupun di waktu yang sama ada umat Islam di negara atau qariah tersebut yang berkeadaan kais pagi makan pagi dan kais petang, makan petang. Adakah umat Islam bersedia tidur nyenyak dibuai mimpi masjid-masjid indah semata-mata pelancongan sambil pada waktu yang sama kebajikan asas umat sendiri tersadai ditepian?
Implikasi kedua penerimaan pendekatan ‘Masjid Pelancongan’ ini adalah besar kemungkinan masjid akan di bina di kawasan yang ‘romantik’ contohnya di tengah-tengah tasik atau lagun atau dipuncak-puncak bukit, atau di padang jarak padang tekukur semata-mata menyedap pandangan mata? Dalam hal sedemikian kita tidak lagi berkisah samada terdapat qariah yang optima atau tidak kerana perancangan masjid sudah terkeluar dari peranan asalnya sebagai pusat pembangunan masyarakat. Masjid kini dilihat semata-mata simbol kemewahan negara atau kekayaan palsu umat Islam.


Kisah Nabi


Pernah suatu kitika Rasulullah s.a.w. melihat para Sahabat berebut-rebut mengambil air wudhuk baginda. Baginda bertanya kenapa mereka berbuat demikian. Para sahabat menjawab bahawa mereka ingin memperlihatkan hormat mereka terhadap baginda. Rasulullah s.a.w. terus menjawab bahawa hormat kepada baginda adalah dengan cara mengikut sunnahnya dan bukan secara yang ditunjukkan mereka. Saya menginterpretasi bahawa Rasulullah s.a.w. tidak gemar kepada usaha menjadikan sesuatu ‘simbol’ kepada aspek-aspek Islam, apatah lagi kalau ia boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang boros.


Konsep Hakiki Ketamadunan


Kedua, laporan berita tersebut juga memuatkan komen pemberita tentang bagaimana masjid kristal ini akan memberi sumbangan besar terhadap ketamadunan dan kesenian Islam. Saya ingin mengingatkan pembaca bahawa konsep hakiki ketamadunan manusia adalah berdasarkan kepada keadaan manusia yang mempunyai nilai maruah kemanusiaan atau keinsanan yang tinggi serta daya pemikiran yang kritis. Ketamadunan tidak didasarkan kepada hasil produk semata-mata seperti bangunan atau arca. Jika pendekatan atau kefahaman pembinaan masjid yang mahal atau kerana hendak menonjolkan system konstruksi yang unik diterima, kita karus berhati-hati tentang apa sebenarnya ‘sumbangan’ yang diinterpretasikan oleh umat Islam dan bukan Islam.Saya khuatir mesej bahawa Islam kegila-gilaan tentang objek kebendaan yang keterlaluan akan menjadi interpretasi popular di masa terdekat. Rasululah s.a.w. pernah mengajar umat Islam tentang menjimatkan air wudhuk walaupun pada sungai yang mengalir. Islam merupakan agama yang paling praktikal sekali apabila Rasulullah s.a.w. meninggalkan warisan bahawa seluruh bumi sebagai hamparan asas untuk sembahyang. Sesuatu kaum yang tidak mempunyai tempat tinggal khusus mampu mengkhususkan sebidang tanah dengan beberapa garisan sebagai batasan untuk dijadikan ia sesuci-sucinya masjid. Jangan pula umat Islam pewaris Islam mengenakan atau membayangkan sesuatu keperluan bangunan yang terlalu mahal sebagai suatu kawasan untuk berjemaah kerana ia bukan dari nilai-nilai sunnah yang ditinggalkan.


Sumbangan biar berpada


Walaubagaimanapun, niat syarikat kristal tersebut untuk membina masjid sebagai suatu sumbangan masyarakat adalah suatu usaha yang patut dipuji dan disanjungi serta sesuatu usaha yang harus dicontohi oleh semua syarikat dalam menghidupkan budaya wakaf. Tetapi biarlah sumbangan tersebut berpada-pada dan memberi ‘return’ atau pulangan yang tinggi mengikut lunas-lunas sunnah. Contohnya, kalau syarikat tersebut ingin menyumbangkan kristal sebagai promosi barangan pembinaan, tidak bolehkah ia mengagihkan sumbangan tersebut kepada dua puluh atau empat puluh buah masjid yang lain? Mungkin elemen yang dibina adalah suatu pintu gerbang dan pagar masjid serta elemen seperti pondok-pondok wakaf dalam lanskap masjid yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk yang bukan Islam. Dengan cara ini masaalah masjid bernila 22 juta untuk qariah berjumalah 120 orang (lebih kurang RM500,000 setiap jemaah) tidak timbul. Saya rasa dari perspektif perniagaan pun lebih baik banyak orang mendapat manfaat dari segelintir jemaah sahaja agar ‘pengiklanan’ barangan tersebut akan menjadi lebih efektif. Selain dari membuat pembinaan syarikat tersebut juga boleh mendermakan beberapa juta ringgit kepada tabung yayasan Islam bagi memberi biasiswa kepada anak-anak umat Islam yang ada di antaranya tidak berupaya membayar yuran SPM di ‘negara Islam’ tercinta ini. Saya berasa sumbangan-sumbangan sedemikian adalah lebih optima bukan sahaja dari perspektif timbunan pahala yang lebih banyak tetapi suatu strategi ‘pemasaran’ nama syarikat tersebut yang lebih berkesan serta berpanjangan.Akhir sekali, saya berasa tidak ada salahnya jika kita ingin ‘menyumbang sambil mengiklan’ serta mencapai sesuatu keadaan ‘win-win’ atau kebajikan bersama. Tetapi biarlah usaha murni mewakafkan sumbangan kepada ketamadunan Islam dibuat atas landasan yang optima dan hakiki dan bukannya semata-mata di atas landasan komersialisme atau pelancongan yang tidak terbatas.
---------------------------------------------------------------------------------------------


*Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi merupakan pensyarah seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sumber: http://www.kalam.utm.my/publication/mosqueislamicarch/ia_article_2.pdf

Read more...

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP