Berhenti Sejenak Mengimbau Kenangan Lalu.......
Asslamualaikum buat sahabat-sahabat se-Akidah sekalian.....
Detik demi detik masa berlalu pergi meninggalkan kita. Tarikh dan waktu serta jarak pertemuan kita kembali menghadap Ilahi semakin hampir ke garisan penamatnya.
قُلْ لا أَمْلِكُ لِنَفْسِي ضَرّاً وَلا نَفْعاً إِلاَّ مَا شَاءَ اللَّهُ لِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ إِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَلا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلا يَسْتَقْدِمُونَ
"Katakanlah (wahai Muhammad) : "Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun dan tidak dapat mereka menyegerakannya" ."
Hari ini....
Detik ini....
Saat ini....
Tergerak hati ini untuk sama-sama bermuhasabah berkongsi dengan sahabat-sahabat pembaca sekalian. Tahun ini sudahpun masuk tahun 2010 bersamaan 1431H. Ada yang sudah masuk era 20an, 30an, dan seterusnya. Ada juga yang baru di alam remaja dan sebagainya.
Tapi.....
Cuba kita berhenti sejenak berseorangan tanpa diganggu oleh sesiapa untuk mengimbau kembali saat dimana mula-mula kita melihat dunia yang hanya indah SEMENTARA ini.
IBU
Panggilan "ibu", "mak", "umi", "mama" dan sebagainya adalah membawa satu maksud yang sama iaitu orang yang pernah mengandung n melahirkan kita untuk menjadikan kita yang sekarang ini.
Cuba sahabat-sahabat semua renungkan, pengorbanan seorang ibu tatkala ditakdirkan oleh Allah s.w.t sewaktu mengandungkan kita. Bermula dari hari pertama sehingga ke hari yang terakhir. Selama 9 bulan kita berada di dalam kandungan ibu. Hampir 270 hari. Tidak kiralah di mana mak hendak pergi, selama 9 bulan tanpa henti-henti kita tetap bersama dengannya ke mana sahaja ingin dituju oleh mak.
Sewaktu itu, mak tidak pernah merungut bila mengandungkan kita. Tidak juga mak mengeluh untuk membawa kita bersama ke mana sahaja yang ingin dituju oleh mak.
Hari makin hari, berat yang dipikulkan oleh mak tadi semakin hari semakin bertambah berat. Tidak pula mak memaki hamun, memarahi, serta bersumpah kepada kita yang berada di dalam kandungannya.
Malah, sewaktu itu, makin hari makin bertambah sayang kepada kita. Tidak sabar-sabar menanti hari yang bersejarah untuk melihat kita lahir ke dunia.
Tidak kiralah siapapun kita sekarang. Seorang Presiden, Perdana Menteri, Pengetua, Ceo dan sebagainya, kita tetap melalui proses yang sama. Kita pernah berada di dalam alam yang sama. Kita pernah berada di situasi yang sama.
AYAH
Seorang yang bergelar suami kepada seorang isteri. Juga bergelar seorang ayah kepada anak-anaknya. Ada juga yang memanggil "abah", "walid", "abi", tapi semuanya itu membawa maksud yang satu. Dimana, seorang yang tidak pernah lekang dari perhatian mak sewaktu sedang mengandungkan kita.
Pagi, petang, siang, malam abah tidak pernah jemu-jemu keluar mencari nafkah untuk menyara keluarganya. Tidak pula abah pernah mengeluh terhadap tanggungjawabnya mencari rezeki untuk keluarganya.
Sewaktu mak mengandungkan kita, abah tidak pernah pula memarahi mak kita. Tidak pernah pula memaki hamun, memukul mak kita. Walaupun mata abah merah, sendi abah sakit, tapi abah tetap bersama mak dikala mak memerlukan abah.
SEKARANG
Hari ini, kita sudah bergelar dan menjadi diri kita yang kita lihat sekarang. Cuba kita imbau kembali sewaktu kita kecil dan sehingga kita menjadi diri kita yang sekarang.
Sebelum kita dilahirkan, semasa kita berada di dalam kandungan mak, dan semasa kita dilahirkan, abah dan mak tetap menjalankan tanggungjawab sebagai ibubapa kita.
Sewaktu kita kecil, kita tidak tahu akan segala-galanya. Maka, mak dan abah yang mengajar kita sedikit demi sedikit mengenali erti kehidupan di dunia ini.
Abah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. Awal-awal pagi sudahpun beredar keluar menjalankan tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarganya.
Mak pula sejak awal pagi lagi sudah sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Mamasak, mengemas rumah, dan sebagainya.
Di dalam kesibukan menjalankan tanggungjawab itu, mereka tetap tidak lupa untuk menjalankan tanggungjawab kepada kita sebagai anaknya. Sejak dari kecil mak dan abah mengajar kita. Tidak cukup dengan itu juga, dihantarkan pula kita ke sekolah-sekolah dan pusat pengajian untuk menjadikan kita sebagai seorang insan yang berilmu suatu hari nanti.
Semakin hari usia kita semakin meningkat. Ilmu dan pengetahuan kita untuk mengenali erti kehidupan di dunia ini semakin bertambah. Penguasaan kita untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan kehidupan di dunia semakin banyak. Pengetahuan kita dan kenalan kita semakin bertambah dan ramai.
Sehinggalah sekarang, kita menjadi diri kita yang sekarang. Ada yang menjadi buruh. Ada yang menjadi guru. Ada yang menjadi ustaz. Ada yang menjadi doktor. Ada yang mempunyai kereta mewah. Ada yang mempunyai rumah yang besar. Ada yang mempunyai wang yang banyak. Dan sebagainya.
Tapi....
Adakah semua kejayaan yang kita perolehi itu sebagai balasan kepada abah dan mak kita?
HARAPAN
Seorang mak dan abah bersusah payah menjalankan tanggungjawab mendidik dan membesarkan kita bermula dari besar tapak tangan sehinggalah berjaya seperti sekarang bukanlah mereka mahukan wang, kereta, rumah dan sebagainya.
Seorang mak dan abah yang mempunyai jiwa keibubapaan hanya mahukan dan mengharapkan anaknya berjaya dalam hidup.
Dunia dan Akhirat.
Contohnya, mempunyai hubungan yang baik dengan Allah, sembahyang tidak pernah leka dan tinggal, puasa, dan sebagainya. Malah, makin hari makin kuat amal ibadatnya.
Mereka mengharapkan supaya anak-anaknya nanti dapat mengimamkan solat jenazah mereka suatu hari nanti. Bukan orang lain.
Mereka mengharapkan sewaktu mereka tiada nanti, anak-anaknya selalu mendoakan mereka dan sentiasa menyedekahkan pahala ibadat kepada mereka.
Mereka mengharapkan bakal generasi pewaris mereka nanti adalah orang yang dapat meneruskan rantai-rantai perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.
Bukanlah mak dan abah mahukan RM1000 setiap bulan.
Bukanlah mak dan abah mahukan rumah besar seperti banglow dan sebagainya.
Bukanlah mak dan abah mahukan orang gaji supaya mereka dapat berehat suatu hari nanti.
Bukanlah mereka mahukan kereta yang mewah untuk dihadiahkan kepada mereka.
Tetapi....
Mereka hanya mahukan yang sebaliknya. Yang dapat memberikan hasil serta bekalan untuk meneruskan kehidupan di akhirat nanti.
Sama-samalah kita renung-renungkan dan fikir-fikirkan..
Adakah kita betul-betul telah atau sedang menggembirakan dan merealisasikan harapan mak dan abah dengan kejayaan yang kita perolehi sekarang ataupun tidak?
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, semua amalnya terputus kecuali tiga perkara : Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan orang tuanya(abah dan mak)."
(H.R MUSLIM)
Mujahidin
10 Februari 2010
2.25 p.m (waktu mesir)
Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra.
1 Komen dan perkongsian yang berharga:
Assalamualaikum ashraf sahabat seperjuangan..chat ke..??lame tak bersua..dekat mn skang..?study lg ke skrang..?cm ne eh nak follow awak punye blog..?hope awak tidak pernah melupakan kite sbg rakan sekelas smkts..
Post a Comment