Monday, March 8, 2010

Hebatnya Allah S.W.T.......


Selawat dan salam ku tujukan buat kekasihNYA yang sudahpun
sekian lama pergi meninggalkan kita. 

Sudahpun berlalu selama 1400 tahun Rasulullah s.a.w meninggalkan kita. Pelbagai kenangan dan bekalan untuk persediaan ke dunia yang abadi (akhirat) ditinggalkan kepada kita.

Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Diri ini baru sahaja pulang dari "study group" bersama rakan2 sebagai persediaan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi yang dijangka berlangsung pada akhir bulan April.

Tiba-tiba diri ini teringat untuk berkongsi bersama rakan-rakan suatu perkara yang diharapkan dapat memberi manfaat buat kita bersama. Sepertimana yang telah disabdakan oleh nabi Muhammad s.a.w :

" Sampailah daripadaku walaupun satu ayat (sedikit) "
Hal ini menyebabkan diri yang serba kekurangan ini memaksa jari jemari yang agak keletihan ini berusaha memperingati kepada diri ini khususnya serta kawan-kawan sekalian umumnya.

.....................................

Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah al-'Alaq, ayat ke 2 :

خَلَقَ الإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ
   "Dia menciptakan manusia dari segumpal darah"

Firman Allah s.w.t. juga dalam surah an-Nisa', ayat ke 28 :

يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُخَفِّفَ عَنْكُمْ وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً

"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan bersifat lemah"

Allah s.w.t juga berfirman dalam surah al-Ghafir, ayat ke 67 :

  هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلاً ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ثُمَّ لِتَكُونُوا شُيُوخاً وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّى مِنْ قَبْلُ وَلِتَبْلُغُوا أَجَلاً مُسَمًّى وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

"Dialah yang menciptakanmu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, lalu dari segumpal darah, kemudian kamu dilahirkan sebagai seorang anak, kemudian dibiarkan kamu sampai dewasa, lalu menjadi tua. Tetapi diantara kamu ada yang dimatikan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) agar kamu sampai kepada kurun waktu yang ditentukan, agar kamu mengerti".


Saban hari kita mendengar berbagai masalah muncul di penglihatan serta pendengaran kita. Ada yang berbentuk menjurus ke arah kebaikan atau sebaliknya.

"...Engkaulah yang salah......aku tahulah apa yang aku buat!

"....Kubur masing-masing.....jadi janganlah kacau tepi kain orang!

"....Semua nak kena bagi tahu....awak fikirlah sendiri...x dak otak ke!

Perkataan-perkataan ini kadangkala terpacul keluar jugak dari mulut kita. Secara sedar ataupun tidak. Secara menjaharkan dengan suara yang lantang ataupun secara memekik di dalam benak hati dan fikiran sehingga membiak menjadi dendam dan sebagainya.

Berbalik kepada firman Allah s.w.t yang telah tertera di atas. Manusia diciptakan dalam keadaan lemah, diciptakan dari bahan yang sangat hina bagi kita.

Ini dalam erti kata yang lain membawa maksud yang lebih mendalam bahawasanya manusia (kita) ini  dijadikan dalam keadaan yang serba lemah. Serba kekurangan. Serba tidak sempurna serta serba segala-galanya yang menjadikan kita memerlukan segala-galanya dariNYA.

Bukanlah bermaksud Allah menjadikan kita lemah kerana hendak memBELASAH kita. Bukanlah dijadikan kita tidak sempurna kerana untuk menjadikan kita menunding jari kepada org lain tanpa menghiraukan kesalahan kita.

Akan tetapi adalah untuk mentarbiyah emosi kita, mendidik kita untuk saling belajar memahami antara satu sama lain, untuk menjadikan kita saling berkongsi dan bertolong-tolongan serta mewujudkan ikatan yang kuat dengan asbab kelebihan yang wujud pada diri masing-masing.

Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah surah an-Nisa', ayat 1 :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَتَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيباً
"Wahai Manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (ALLAH) menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)nya ; dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah yang dengan namaNYA kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu."

Kadang-kadang manusia ini leka bila tidak disibukkan dengan perkara yang boleh mendekatkan diri denganNYA. Pabila diri selalu dilimpahi dengan keasyikan duniawi, disibukkan dengan perkara-perkara yang lagha dan seumpamanya, hal inilah yang menjadikan syaitan senang lenang dan mudah mengarah serta mengawal kita seperti bahan mainan.

Cuba kita renungkan jika diri ini makin hari makin acuh tak acuh, kadang-kadang bila semangat kita lakukan, bila sibuk ditambah malas kita tak buat akan perintah Allah dan perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri dengan Allah, hal inilah yang boleh menimbulkan perkara-perkara yang kita tidak ingini.

Contohnya seperti pengawalan emosi menjadi tidak menentu, merasakan diri ini adalah hebat dan orang lain semua bawah dan lemah darinya, dia sahaja yang betul dan orang lain yang salah serta seumpamanya.

Apabila wujud penyakit-penyakit naluri ini, sebab itulah kadang-kadang boleh terpacul keluar perkataan-perkataan yang boleh menimbulkan perbalahan antara dua pihak seperti disebutkan di atas.

Ditambah pula hubungan dengan Allah yang kadang-kadang sahaja di singgahi. Bila hari lapang, pergi sembahyang. bila disibukkan sdikit dengan dunia, sembahyang entah ke mana. Lebih utamakan duniawi daripada ukhrawi. Inilah punca hati menjadi gelap serta emosi dikawal oleh syaitan seperti bahan mainan.

MUHASABAH

Sahabat-sahabat yang dihormati Allah sekalian. Hidup ini tidak ada yang sempurna dan berkuasa sepenuhnya. Sedangkan seorang ulama kabir boleh melakukan kesilapan, inikan pula hendak dibandingkan dengan kita ibarat langit dan bumi.

Jauh sekali jika hendak dibandingkan dengan kita akan keaqraban mereka dengan Allah. Ulama kabir pun manusia, ada buat dosa, ada buat silap, tapi semua itu bukanlah salah mereka. Akan tetapi adalah kerana "MANUSIA" bukanlah sempurna. Ada kurang dan ada lebihnya.

Hebatnya Allah s.w.t jadikan sekalian alam ini semuanya berbeza antara satu dengan yang lain. Cuba kita pergi tanya manusia yang dilahirkan kembar. Adakah hati dan perasaan mereka satu?Adakah corak cop jari mereka berdua serupa?

Jawapannya pasti tidak. Itulah yang menunjukkan manusia ini saling memerlukan antara satu sama lain. sedangkan kembar pun beza, inikan pula kita yang tidak kembar?Sama-sama fikirkan.

Emosi, Marah, Sedih, Malu, senyum, perselisihan fahaman, dan sebagainya bukanlah satu penyakit ataupun bala bagi diri kita. Akan tetapi semua itu adalah nikmat.

Sepertimana Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nahl, ayat ke 18 :


وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لا تُحْصُوهَا إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ 

" Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. "

Cuba kita fikir sejenak, jika dunia ini semua diciptakan lelaki sahaja. Apa yang kita dapat rasakan. Jika dunia ini semua diciptakan semuanya satu sifat, satu pemikiran, satu kaum.

Diri ini yakin, pasti semua akan menjawab kehidupan jadi tidak lengkap, tidak sempurna dan sebagainya. Jadi apabila wujud perselisihan dan sebagainya, ini adalah satu nikmat. Nikmat untuk mentarbiyah hati-hati kita supaya mengawal emosi, mendidik jiwa kita supaya perkuatkan keimanan kita pada Allah, mentarbiyah diri kita untuk lebih thabat dalam perjuangan dan tidak futur (keluar / lari) dari jalan perjuangan.

Perjuangan mengawal hawa nafsu, godaan syaitan dan sebagainya.

Akhirnya, diri ini berharap moga sedikit perkongsian ini boleh menjadikan kita memilih dan menilai akan diri kita terhadap apa yang kita telah fikirkan selama ini. Samaada selama ini aku di dalam kawasan yang betul ataupun tidak.

Sama-samalah kita muhasabah bersama.. InsyaAllah bermanfaat untuk kita dan generasi yang ke hadapan.

........................

~Mujahidin~

Takhasuus Qiraat, Maahad Qiraat Al-Azhar,
Shoubra, Mesir.
(St. Thressa, Shoubra)
(1.00 a.m Mesir)

0 Komen dan perkongsian yang berharga:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP